Tuesday, 29 November 2011

Mencegah lebih baik...

        Petang ini cuaca mendung, redup dan ada tanda-tanda hujan akan turun pada malam hari. Untuk beberapa minggu ini aku diserang resdung dan bersin berterusan hingga memaksa aku menghubungi seorang pembuat pil resdung di Perak untuk membuat tempahan sedosen pil resdung he.he..he. Bukannya apa, banyak produk tiruan yang berlambak di pasaran sekarang ini dan mereka tidak segan silu menggunakan jenama dan alamat yang sama dengan pengeluar asal. Bahaya. Gunakan yang asli dan sebab itu aku suka berurusan secara langsung. Lama sudah tidak berurusan dengan pengusahanya tapi dulu atas dasar percaya barang dihantar sebelum pembayaran dibuat dan aku memang menghargai kepercayaan tersebut. Alternatif lain aku minum Scott Imulsion. Bagus untuk memberikan kekuatan dalaman dan membekalkan haba dalam badan. Lama dulu aku tinggalkan tapi dalam masa dua bulan ini aku sambung semula amalan tersebut.
        Di Muar pula ada makcik yang menjalankan perubatan tradisional, keluarkan ulat resdung dengan menggunakan sedikit peralatan seperti separuh tempurung kelapa yang ditebuk lubang tengahnya dan diikat serta gam menggunakan buluh lemang, loyang berisi separuh air, kepingan besi yang dipateri bersama kelongsong dan bahan asas guna habis seperti biji terung hutan dan minyak masak. Prosesnya ialah biji terung hutan dan minyak masak dibubuh diatas kepingan besi yang dipanaskan  dan ia diletakkan didalam loyang yang berisi separuh air. Kemudian tempurung kelapa yang telah ditebuk lubang tengahnya dan ditusuki oleh buluh lemang di letakkan menutupi kepingan besi tersebut. Asap akibat campuran minyak masak dan biji terung akan keluar melalui buluh lemang tersebut dan aku pun tiup menggunakan mulut dan selang-seli menggunakan lubang hidung.  Memang nampak ulat itu terapung didalam air pada loyang. Berwarna putih dan kecil sekali. Aku sangkakan hampas kelapa tapi bila aku belek memang mustahil hampas kelapa. Kena tengok melalui mokroskop baru jelas nampak ulat dengan terperinci. Kepala jadi lega selepas buat rawatan tu dan bayar ikhlas hati, tiada bil-bil tambahan dikenakan.
          Apa pun kena usaha kalau ada penyakit dan yang paling penting pencegahan. Aku memang agak pantang kalau makan udang dan seangkatan dengannya. Sotong masih boleh lagi. Punca penyakit daripada perut. Memang Nabi SAW telah ingatkan berkurun lamanya dan ada petua-petua pemakanan secara islamik yang kita kena patuh. Usaha perlu ada. Aku ada kawan yang telah meninggal dunia ( Al Fatihah) pada tahun 2006 kerana menghidapi penyakit gout, darah tinggi dan akhirnya kencing manis. Arwah lama tidak membuat pemeriksaan berkala semasa menghidapi penyakit gout dan darah tinggi dan paling teruk tidak menjaga pemakanan. Semua bedal dengan alasan masa muda ni kena menikmati makanan dan akhirnya selepas meninggal dunia baru tahu adanya penyakit kencing manis. Amat tragik sebab arwah serumah dengan aku dulu dan sebelum meninggal dunia aku sempat jumpa sebelum cuti umum Tahun Baru Cina. Banyak kenangan masam-masam manis semasa tinggal serumah dulu. Allah lebih sayangkannya. Aku harap arwah dapat bersemadi dengan aman damai dan rohnya dicucuri rahmat-Nya. Apa pun kita kena ambil tauladan untuk dijadikan panduan. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat...

1 comment: