Wednesday, 30 November 2011

meniti kehidupan

            Hari ini 4 muharam 1433. Maknanya telah empat hari hijrah berlalu. Hari di mana umat islam mengambil iktibar melalui penghijrahan nabi dari kota Mekah ke kota Madinah untuk mencari kehidupan yang lebih baik sebelum pulang ke kota Mekah semula untuk menyebarkan agama islam dengan kekuatan umat. Tahun baru islam yang sepatutnya digunapakai berbanding tahun masehi dan tahun baru yang seharusnya disambut dengan kesyukuran dan gemilang berbanding tahun baru masehi tapi apa yang berlaku sebaliknya. Bilakah hendak berubah masih dalam kesamaran kerana ia melibatkan pembentukan generasi yang mengikut acuan pemimpinnya baik peringkat keluarga, komuniti mahupun ketua masyarakat.
             Hujung tahun 2003 aku berhijrah ke pekan kecil yang diberi nama Parit Raja yang terletak di daerah Batu Pahat, Johor. Dari bandar kecil Tangkak yang jauhnya cuma lebih kurang 120km, aku melintasi sempadan setiap daerah untuk mengubah nasib dan juga masa hadapan yang lebih baik dari sebelumnya. Selama empat tahun berkerja di kilang yang agak besar dan berprestij di Muar ia masih tidak mampu mengubah apa-apa kepada aku... cuma rasa selesa tinggal di kampung bersama ibu. Tiada matlamat dan tiada motivasi tinggal di kampung dan mungkin kerana itu aku telah 'dihantar'-Nya ke tempat lain supaya aku dapat belajar erti kehidupan yang sebenar. Walaupun aku yang mengisi borang kerja, menghadiri peperiksaan dan temuduga dan berjaya diterima tapi jauh maknanya daripada itu aku mengerti bahawa aku telah diberi peluang untuk berubah menjadi lebih baik dan oleh itu aku dihantar ke tempat yang sebaiknya. Alhamdulillah.
            Di pekan kecil ini sebenarnya memberi makna yang besar. Dahulunya aku janggal untuk bersolat fardhu dengan secukupnya apatah lagi untuk berjemaah namun hasil pergaulan yang baik akhirnya ia menjadi satu kebiasaan dan seharusnya menjadi kewajiban setiap orang islam. Sama juga dengan berpuasa, dahulunya agak sukar untuk berpuasa sebulan kerana pergaulan rakan-rakan tapi ia berubah sedikit demi sedikit lalu memahami kepentingan rukun itu sendiri secara mendalam. Dahulunya rokok menjadi penyedap selera makan mahupun untuk tidur kini tiada lagi dalam fikiran dan tidak perlu mengambil ubat ubatan untuk menghilangkan ketagihan. Apa yang penting set minda kita dan yakin kepada diri sendiri. Jangan jadi hamba rokok dan bukan sahaja rokok malah jangan jadi hamba kebendaan kerana ia bisa membinasakan diri.
          Pentingnya kita mencari sahabat yang hidupnya positif dan sentiasa mencari keredhaan Allah swt. Dahulunya bukan kerana aku jahil malah tahu serba serbi amalan agama cuma tidak taat. Pentingnya taat dalam agama kerana ia maruah diri sendiri sebagai orang islam. Selepas berkeluarga aku rasa kehidupan lebih lengkap dan teratur. Syukran. Aku ada matlamat sendiri bagaimana aku nak membangunkan keluarga aku selaras dengan kehendak agama islam itu sendiri. Bukan hanya menghantar anak ke sekolah dan menerima 'input' sahaja malah perlu tahu 'output', apa yang dipelajarinya dan yang paling penting ialah boleh bersolat semasa umur 7 tahun. Besarnya tanggungjawab ketua keluarga kalau kita tahu kesannya kepada diri kita malah kesan kepada masyarakat jika kita tidak mendidik generasi kita dengan betul. Banyak masalah sosial, maksiat dan jenayah yang berlaku sebenarnya datang daripada institusi keluarga yang tidak stabil dan kukuh.
       Apapun aku harap agar Allah swt sentiasa memberi aku petunjuk dan hidayah untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik dan iman yang tetap kerana tanpa itu maka siapalah aku. Menjadi manusia yang tiada berdaya melainkan dengan izin Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ini kerana aku sedar dan insaf bahawa aku tidak mempunyai apa-apa selain belas kasihan-Nya dan bila mengenangkan perkara itu aku jadi terharu dan kosong. Pentingnya hijrah dalam diri menjadi lebih baik dari sebelumnya dan aku harap dapat bertahan daripada godaan yang mendatang. Salam Hijrah.

No comments:

Post a Comment