Monday, 5 December 2011

Secebis perjalanan...

      Khamis minggu lepas (01/12/2011), aku sekeluarga ke Sungai Pelek, Sepang, Selangor Darul Ehsan mengunjungi kakak sekeluarga di sana. Dari Parit Raja singgah ke Tangkak mengambil ibuku dan petangnya terus bertolak ke sana. Menjadi kebiasaan cuti hujung tahun setakat ini memandangkan setiap minggu sibuk dengan Program Kursus Secara Sambilan di Politeknik Merlimau Melaka yang dengan izin Allah akan selesai pada bulan jun tahun hadapan. Rumah kakak aku berdekatan dengan pantai Bagan Lalang.Di situ terdapat Resort Gold Coast iaitu pusat penginapan yang mempunyai ratusan bilik dibina terapung diatas laut dan agak eksklusif. Suasana tenang di Bagan Lalang dan jauh dari hiruk pikuk kota membuatkan hati rasa lapang dan tenteram.
      Majoriti penduduk aku rasakan bangsa india lebih ramai berbanding melayu dan ini berbeza dengan pekan Parit Raja yang majoritinya melayu dan sukar untuk melihat bangsa india. Di sini juga mudah untuk melihat kuil dan perkuburan hindu. Malah sepanjang perjalan dari Sungai Pelek ke Kajang untuk ke rumah abang ipar pun aku nampak terdapat banyak kuil dan juga perkuburan india. Mungkin dahulunya terdapat penempatan estet dan lama kelamaan populasi semakin menjadi besar dan berkembang. Di Banting dan Kelang juga memang mereka menjadi majoriti dan ini amat berbeza dengan negeri-negeri lain. Bangsa cina juga menjadi minoriti di sana.
      Hari jumaat tiada apa akitiviti dilakukan hanya berehat di rumah dan malamnya abang aku sekeluarga datang dari Kelang. Petang jumaat hanya bersiar-siar menaiki kereta dan tidak dapat berjalan-jalan di pantai kerana hujan renyai. Malam tersebut setelah selesai makan malam kami hanya berbual-bual mengenai hal keluarga dan sebagainya. Pada hari sabtu aku sekeluarga ke Kajang mengunjungi rumah abang ipar. Berpandukan papan tanda akhirnya sampai aku ke Bandar Kajang dan kemudian abang ipar menunjuk arah rumahnya yang melalui kawasan Kedai sate yang amat terkenal di Kajang iaitu sate kajang Haji Samsuri. Masa yang amat terhad aku, sendiri belum dan tidak sempat merasainya. Ada umur insya Allah nak mencuba juga. Kajang sehari sebelum itu dilanda banjir yang agak parah juga sehingga menenggelamkan kenderaan tapi ia bukan banjir 'diam' kerana dalam masa 2-3 jam, ia surut dan pulih seperti biasa. Petangnya aku sekeluarga balik ke Sungai Pelek melalui lebuhraya ke Nilai dan selamat sampai hampir isyak.
         Hari ahad sempat aku bawa anakku Insyirah ke Bagan Lalang untuk bermain di taman permainan dan kemudian ke pantai. Petang berkemas terus kerana hendak ke Putrajaya rumah abang dan balik ke Tangkak. Abangku bertugas di Pulau Langkawi sempena LIMA 2011 dan kakak ipar, anak saudara dan mertua abangku ada menyambut di rumah. Petang hujan lebat di Putrajaya dan renyai selepas itu . Selepas isyak kami bertolak ke Tangkak melalui lebuhraya dan hujan amat lebat di Jasin hingga ke Tangkak. Kereta semua dipandu perlahan, hanya lampu belakang kereta sahaja yang menjadi panduan. Anak-anakku tidur nyenyak. Bersyukur kepada Allah selamat kami sampai ke destinasi.

No comments:

Post a Comment