Friday, 9 December 2011

Mari makan pau!

     Seronok juga Rabu tempohari ikut lawatan ke kilang pau di kawasan industri kecil Parit Raja. Aku diajak secara 'bidan terjun' bagi menggantikan seorang  peserta untuk memeriahkan majlis. Pukul 2.30 petang bertolak dan sampai ke kilang tersebut dalam masa 10 minit sahaja. Memang dekat. Peserta yang terlibat dalam 7 orang iaitu terdiri daripada doktor kejuruteraan dan pensyarah.Ramai gak. Keluasan kilang sama seperti kedai makan. Tidak berapa luas dan laluan agak sempit. Kami dijemput untuk menyelesaikan sedikit masalah mengenai teknologi mesin yang digunakan supaya lebih berkecekapan dan memudahkan. Pengusahanya seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 50-an menerangkan perjalanan perniagaannya yang bermula secara kecil-kecilan. Daripada menggunakan kudrat tangan sehinggalah menggunakan peralatan mesin yang dibeli dari Taiwan.
    Aku memang kagum dengan mana-mana pengusaha makanan yang cuba memasarkan produk mereka. Ini kerana apa yang aku nampak dan tahu, industri makanan sebenarnya dimonopoli oleh orang bukan islam seperti yang pernah kita baca dalam internet dahulu mengenai pau Ahmad. Nama pemandu lorinya sahaja Ahmad manakala pengusahanya orang bukan islam. Sama juga dengan pengeluaran biskut dan sebagainya. Orang bukan islam mempunyai kuasa modal dan strategi pemasaran yang hebat. Kedai-kedai runcit dan mega kebanyakkannya membenarkan dan memberi ruang yang luas kepada produk bangsa mereka berbanding dengan produk orang islam yang agak ada kekangan dan terbatas. Mana-mana produk orang bukan islam begitu mudah memasuki pasaran umat islam berbanding dengan produk islam yang untuk memasuki gedung orang bukan islam amat sukar.
      Alhamdulillah di Parit Raja ada Industri Kecil Sederhana dan banyak produk umat islam seperti pizza, kerepek, makanan tradisional, kebab dan lain-lain. Cuma apa yang aku nampak bahagian pemasaran agak 'lembab' berbanding orang bukan islam. Ini tidak dinafikan oleh pengusaha tersebut cuma apa yang menjadi masalahnya ialah pengeluaran yang terhad manakala permintaan tinggi. Ini memerlukan mesin yang cekap, penyimpanan yang cukup dan penghantaran yang memenuhi spesifikasi supaya kualiti pau tersebut dapat dikekalkan. Sementara ini mereka hanya menggunakan sebuah van bukan lori yang mempunyai sistem penyejuk. Masih menunggu suntikan modal daripada pihak bank dan agensi kerajaan yang berkaitan. Ada dua masalah yang dibentangkan oleh pengusaha tersebut iaitu pau yang siap dengan kuantiti yang banyak diambil secara manual untuk diletakkan keatas kertas pelapik dan tiada ruang penyejukan setelah pau dikukus. Ini penting untuk menjaga kualiti. Lawatan ke tempat operasi dilakukan untuk melihat situasi sebenar dan di situ masing-masing telah mendapat idea untuk diketengahkan dalam kertas kerja.
      Setelah menjamu selera kami dibekalkan dengan 2 bungkus pau yang didalamnya ada 6 ketul pau berintikan kacang sebagai oleh-ole untuk dibawa pulang. Alhamdulillah murah rezeki. Harapan agak tinggi diberikan oleh pengusaha tersebut kepada peserta-peserta ini supaya masalah tersebut dapat diselesaikan dan apa yang penting tindakan susulan perlu dilakukan dan aku sebenarnya bukanlah sebahagian daripada 'projek' penambahbaikan tersebut. Aku cuma penumpang dalam program lawatan tersebut maka idea-idea bernas akan dibuat oleh cerdik pandai doktor kejuruteraan dan didokumentasikan dalam kertas kerja mereka nanti....bravo!




 

1 comment: