Jumaat minggu lepas aku sekeluarga bertolak ke Bakri Muar kerana ada majlis perkahwinan anak saudara, anak lelaki akak aku. Tidur disana satu malam. Abang-abang dan kakak yang lain sekeluarga dari Sepang, Putrajaya dan Klang turut bersama. Ada sebuah rumah kerajaan yang agak besar dan selesa ditempah khas untuk kami bersama-sama memeriahkan majlis. Memang seronok bertemu kaum keluarga terasa seperti hari raya. Pagi sabtu aku bergegas ke Politeknik Merlimau mendaftarkan diri sebagai pelajar semester akhir. Seronoknya dah tahun akhir terasa lega kerana telah melalui liku-liku yang agak payah sebelum ini dan berjaya melepasinya. Alhamdulillah. Hari hujan di Merlimau. Aku singgah di pasaraya Giant, Muar untuk membeli lampin anak dan hadiah perkahwinan. Susu tepung memang agak mahal disini berbanding pasaraya lain.
Pukul 1.00 tengahari aku bertolak ke Bakri Muar. Agak meriah majlis perkahwinan. Ramai juga saudara mara aku yang datang dari Tangkak. Ibu saudara aku yang selama ini aku hanya mendengar nama kini baru dapat bersua muka. Adik arwah bapaku yang tinggal di Pantai Layang, Rawang, Ledang (dulu kawasan Muar). Dengan keluarga anak-anaknya sekali hadir. Saudara yang tinggal di Singapura juga hadir. Boleh tahan juga kehadiran saudara mara dan memang mengujakan bila dapat mengeratkan silaturrahim. Petang bila majlis selesai kami pulang ke Tangkak meredahi hujan renyai pada waktu senja dan syukur segalanya selamat.
Hari ahad abangku sekeluarga pulang ke Putrajaya. Abangku satu lagi berkunjung kerumah kakak ipar di Bandar Tenggara dan tidur disana sekeluarga. Kakak yang tinggal di Sepang tinggal di kampung sampai hari khamis. Hari isnin aku dan kakak sekeluarga pergi ke Zoo Melaka.. Ini pun pasal permintaan anak-anak buah. Hari cuti memang ramai orang datang mengisi masa lapang. Kenderaan berpusu-pusu. Magrib baru sampai rumah. Memang letih. Sebelum balik kebetulan kakak di Bakri datang ke Melaka juga dan kami bertemu di tasik belakang Zoo Melaka dan sempat naik bot mengeliling tasik tersebut. Malam itu juga aku sekeluarga balik ke Parit Raja selepas waktu isyak. Memang meletihkan tapi menyeronokkan apabila bertemu dan melayan anak-anak buah dan cucu.( anak buah punya anak.. ( ''__,),,,....
Hari ini aku bekerja seperti biasa. Pelajar cuti seminggu. Cuti mengulangkaji. Awal bulan 1 tahun hadapan mereka akan menghadapi peperiksaan akhir. Petang tadi aku memeriksa surat di kotak merpati di pejabat dan ada satu surat rasmi dari majikan. Musykil juga. Bila aku buka rupa-rupanya aku dipilih untuk mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2010. Alhamdulillah. Mula-mula rasa macam tidak layak langsung kerana apa la sangat kerja aku tapi bila memikirkan ini rezeki yang Allah swt bagi, aku redha je la. Mungkin ini satu pembakar semangat supaya aku berubah jadi lebih baik daripada sebelumnya. Aku harus tingkatkan ilmu pengetahuan dan boleh memberi manfaat kepada orang lain. Azam baru harus ditanamkan dan matlamat kena jelas. Banyak perancangan yang aku rancangkan untuk tahun hadapan dan harapan aku ialah aku dapat merealisasikannya. Contohnya insyAllah diploma akan berada didalam genggaman bila habis belajar pada bulan jun 2012 nanti. Apa pun aku bersyukur kepada Allah yang Maha Pemberi Rezeki dan Maha Mengasihani.
No comments:
Post a Comment