Wednesday 30 November 2011

meniti kehidupan

            Hari ini 4 muharam 1433. Maknanya telah empat hari hijrah berlalu. Hari di mana umat islam mengambil iktibar melalui penghijrahan nabi dari kota Mekah ke kota Madinah untuk mencari kehidupan yang lebih baik sebelum pulang ke kota Mekah semula untuk menyebarkan agama islam dengan kekuatan umat. Tahun baru islam yang sepatutnya digunapakai berbanding tahun masehi dan tahun baru yang seharusnya disambut dengan kesyukuran dan gemilang berbanding tahun baru masehi tapi apa yang berlaku sebaliknya. Bilakah hendak berubah masih dalam kesamaran kerana ia melibatkan pembentukan generasi yang mengikut acuan pemimpinnya baik peringkat keluarga, komuniti mahupun ketua masyarakat.
             Hujung tahun 2003 aku berhijrah ke pekan kecil yang diberi nama Parit Raja yang terletak di daerah Batu Pahat, Johor. Dari bandar kecil Tangkak yang jauhnya cuma lebih kurang 120km, aku melintasi sempadan setiap daerah untuk mengubah nasib dan juga masa hadapan yang lebih baik dari sebelumnya. Selama empat tahun berkerja di kilang yang agak besar dan berprestij di Muar ia masih tidak mampu mengubah apa-apa kepada aku... cuma rasa selesa tinggal di kampung bersama ibu. Tiada matlamat dan tiada motivasi tinggal di kampung dan mungkin kerana itu aku telah 'dihantar'-Nya ke tempat lain supaya aku dapat belajar erti kehidupan yang sebenar. Walaupun aku yang mengisi borang kerja, menghadiri peperiksaan dan temuduga dan berjaya diterima tapi jauh maknanya daripada itu aku mengerti bahawa aku telah diberi peluang untuk berubah menjadi lebih baik dan oleh itu aku dihantar ke tempat yang sebaiknya. Alhamdulillah.
            Di pekan kecil ini sebenarnya memberi makna yang besar. Dahulunya aku janggal untuk bersolat fardhu dengan secukupnya apatah lagi untuk berjemaah namun hasil pergaulan yang baik akhirnya ia menjadi satu kebiasaan dan seharusnya menjadi kewajiban setiap orang islam. Sama juga dengan berpuasa, dahulunya agak sukar untuk berpuasa sebulan kerana pergaulan rakan-rakan tapi ia berubah sedikit demi sedikit lalu memahami kepentingan rukun itu sendiri secara mendalam. Dahulunya rokok menjadi penyedap selera makan mahupun untuk tidur kini tiada lagi dalam fikiran dan tidak perlu mengambil ubat ubatan untuk menghilangkan ketagihan. Apa yang penting set minda kita dan yakin kepada diri sendiri. Jangan jadi hamba rokok dan bukan sahaja rokok malah jangan jadi hamba kebendaan kerana ia bisa membinasakan diri.
          Pentingnya kita mencari sahabat yang hidupnya positif dan sentiasa mencari keredhaan Allah swt. Dahulunya bukan kerana aku jahil malah tahu serba serbi amalan agama cuma tidak taat. Pentingnya taat dalam agama kerana ia maruah diri sendiri sebagai orang islam. Selepas berkeluarga aku rasa kehidupan lebih lengkap dan teratur. Syukran. Aku ada matlamat sendiri bagaimana aku nak membangunkan keluarga aku selaras dengan kehendak agama islam itu sendiri. Bukan hanya menghantar anak ke sekolah dan menerima 'input' sahaja malah perlu tahu 'output', apa yang dipelajarinya dan yang paling penting ialah boleh bersolat semasa umur 7 tahun. Besarnya tanggungjawab ketua keluarga kalau kita tahu kesannya kepada diri kita malah kesan kepada masyarakat jika kita tidak mendidik generasi kita dengan betul. Banyak masalah sosial, maksiat dan jenayah yang berlaku sebenarnya datang daripada institusi keluarga yang tidak stabil dan kukuh.
       Apapun aku harap agar Allah swt sentiasa memberi aku petunjuk dan hidayah untuk meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik dan iman yang tetap kerana tanpa itu maka siapalah aku. Menjadi manusia yang tiada berdaya melainkan dengan izin Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ini kerana aku sedar dan insaf bahawa aku tidak mempunyai apa-apa selain belas kasihan-Nya dan bila mengenangkan perkara itu aku jadi terharu dan kosong. Pentingnya hijrah dalam diri menjadi lebih baik dari sebelumnya dan aku harap dapat bertahan daripada godaan yang mendatang. Salam Hijrah.

Tuesday 29 November 2011

Mencegah lebih baik...

        Petang ini cuaca mendung, redup dan ada tanda-tanda hujan akan turun pada malam hari. Untuk beberapa minggu ini aku diserang resdung dan bersin berterusan hingga memaksa aku menghubungi seorang pembuat pil resdung di Perak untuk membuat tempahan sedosen pil resdung he.he..he. Bukannya apa, banyak produk tiruan yang berlambak di pasaran sekarang ini dan mereka tidak segan silu menggunakan jenama dan alamat yang sama dengan pengeluar asal. Bahaya. Gunakan yang asli dan sebab itu aku suka berurusan secara langsung. Lama sudah tidak berurusan dengan pengusahanya tapi dulu atas dasar percaya barang dihantar sebelum pembayaran dibuat dan aku memang menghargai kepercayaan tersebut. Alternatif lain aku minum Scott Imulsion. Bagus untuk memberikan kekuatan dalaman dan membekalkan haba dalam badan. Lama dulu aku tinggalkan tapi dalam masa dua bulan ini aku sambung semula amalan tersebut.
        Di Muar pula ada makcik yang menjalankan perubatan tradisional, keluarkan ulat resdung dengan menggunakan sedikit peralatan seperti separuh tempurung kelapa yang ditebuk lubang tengahnya dan diikat serta gam menggunakan buluh lemang, loyang berisi separuh air, kepingan besi yang dipateri bersama kelongsong dan bahan asas guna habis seperti biji terung hutan dan minyak masak. Prosesnya ialah biji terung hutan dan minyak masak dibubuh diatas kepingan besi yang dipanaskan  dan ia diletakkan didalam loyang yang berisi separuh air. Kemudian tempurung kelapa yang telah ditebuk lubang tengahnya dan ditusuki oleh buluh lemang di letakkan menutupi kepingan besi tersebut. Asap akibat campuran minyak masak dan biji terung akan keluar melalui buluh lemang tersebut dan aku pun tiup menggunakan mulut dan selang-seli menggunakan lubang hidung.  Memang nampak ulat itu terapung didalam air pada loyang. Berwarna putih dan kecil sekali. Aku sangkakan hampas kelapa tapi bila aku belek memang mustahil hampas kelapa. Kena tengok melalui mokroskop baru jelas nampak ulat dengan terperinci. Kepala jadi lega selepas buat rawatan tu dan bayar ikhlas hati, tiada bil-bil tambahan dikenakan.
          Apa pun kena usaha kalau ada penyakit dan yang paling penting pencegahan. Aku memang agak pantang kalau makan udang dan seangkatan dengannya. Sotong masih boleh lagi. Punca penyakit daripada perut. Memang Nabi SAW telah ingatkan berkurun lamanya dan ada petua-petua pemakanan secara islamik yang kita kena patuh. Usaha perlu ada. Aku ada kawan yang telah meninggal dunia ( Al Fatihah) pada tahun 2006 kerana menghidapi penyakit gout, darah tinggi dan akhirnya kencing manis. Arwah lama tidak membuat pemeriksaan berkala semasa menghidapi penyakit gout dan darah tinggi dan paling teruk tidak menjaga pemakanan. Semua bedal dengan alasan masa muda ni kena menikmati makanan dan akhirnya selepas meninggal dunia baru tahu adanya penyakit kencing manis. Amat tragik sebab arwah serumah dengan aku dulu dan sebelum meninggal dunia aku sempat jumpa sebelum cuti umum Tahun Baru Cina. Banyak kenangan masam-masam manis semasa tinggal serumah dulu. Allah lebih sayangkannya. Aku harap arwah dapat bersemadi dengan aman damai dan rohnya dicucuri rahmat-Nya. Apa pun kita kena ambil tauladan untuk dijadikan panduan. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat...

Monday 28 November 2011

Aku dan sesuatu....

Assalamualaikum wbt,
       Pertama kali menulis dalam blog. Terima kasih kepada pihak 'google' kerana memudahkan urusan dengan kurang lima minit berjaya aku mempunyai blog sendiri. Aku pun tidak tahu kenapa aku berminat untuk mempunyai blog sendiri tapi aku merasakan yang aku ada sesuatu untuk aku sampaikan dalam blog aku. Blog ibarat diari dan satu medium penyampaian yang berkesan dalam alaf baru ini dan dengan kemudahan yang disediakan sesiapa pun boleh menulis asalkan ia tidak menyalahi peraturan undang-undang atau menyentuh sensitiviti masyarakat. Kita tidak perlu emosional dalam menyampaikan sesuatu yang ingin kita kongsikan.  Apa yang penting adalah nawaitu, niat kita dalam menyampaikan sesuatu kepada sesiapa saja atau yang berkenaan.
         Menjadi blogger perlu menulis dan menaip. Aku bukan penulis dan juga penaip. Cuma menambahkan bilangan sahaja dan ingin merasai dunia blogger, maklumlah kita tinggal di alaf baru. Satu medium komunikasi bisu yang mampu menerjah fikiran masyarakat dengan pegangan prinsip kearah masa hadapan yang ada matlamat dan impian. Gunakan kemudahan yang sedia ada dan yang penting perlu mengetahui etika penulisan walaupun kita tidak pernah mendapat pendidikan formal seperti mereka mempunyai diploma mahupun ijazah dalam bidang yang berkaitan. Mungkin pengalaman dan pengetahuan berbeza. Aku tetap seperti aku. Cuba mengeksperimentasikan keadaan sekeliling dan yang pasti insan yang ingin mencuba sesuatu yang baru..aku dan sesuatu.