Tuesday 17 September 2013

Tragedi dan airmata

Sabtu lepas penduduk Bandar Tangkak dikejutkan dengan kes pembunuhan Pakcik Adam, peniaga daging di Pasar Awam Tangkak. Aku balik sekeluarga masa tu. Arwah kena tembak dikepala oleh menantunya juga seorang anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Felda Cempelak. Suspek dah bunuh isterinya terlebih dahulu (petang sabtu 14 september 2013) di Felda Cempelak dan kemudian suspek bawa anaknya yang berusia 2 tahun ke rumah mertuanya di Jalan Padang Lerek 1 Tangkak. Dekat je rumah mangsa dengan kedai yang aku selalu hantar air alfalfa. Suspek dikatakan nak cari mak mertuanya tapi tiada sebab pergi ke pasar malam. Kebetulan mangsa nak pergi ke masjid berdekatan dan berlaku pertengkaran kecil lantas suspek terus menembak di kepala mangsa. Mangsa meninggal di hospital Tangkak manakala suspek menembak kepala sendiri dan mati ditempat kejadian.
     Aku masa tu sedang bersedia tunggu bola perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka, Malaysia menentang Myanmar yang berkesudahan kemenangan kepada Malaysia. Malam tu aku tak keluar. Ingatkan nak jengah tempat kejadian tapi memandangkan masalah kesihatan aku lepak rumah je. Akak aku yang tinggal Muar telefon bagitau mak aku pasal kes tu. Sedih dan kesian kat mangsa tapi dah suratan takdir. Tinggal anak kecil yang tak berdosa, kehilangan ibubapa dan atok. Tentu tertanya-tanya apa yang berlaku. Cari mak bapa yang dah tiada. Allah SWT dah takdirkan begitu. Dengar cerita nenek sebelah maknya (Tangkak) nak jaga cucunya tu. Apa sebab suspek bunuh isteri dan mertuanya tak diketahui cuma dikatakan ada masalah rumahtangga. Lepas tu bunuh diri. Memang nekad dan tragik.
    Memang kalau nak beli daging biasanya dengan si arwah. Malah masa kerja kawin aku tahun 2008 pun aku dengan mak pergi ke rumah arwah buat tempahan daging. Arwah dibantu oleh anak lelakinya yang berumur 34 tahun. Bawah umur aku je dan sekolah rendah sama dulu (Sekolah Rendah Ledang). Mungkin dia penggantinya lepas ni meneruskan perniagaan arwah bapanya. Al fatihah untuk arwah Pakcik Adam.
http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2013/9/15/mstar_jenayah/20130915195139&sec=mstar_jenayah

Wednesday 17 July 2013

Salam Ramadhan 1434Hijrah

       Alhamdulillah dah masuk 9 Ramadhan hari ni. Genap 9 hari umat islam berpuasa. Cuaca kali ni agak sejuk sebab selalu hujan. Biasanya bulan ramadhan terik dengan mentari tapi kali ni suasana redup. Macam biasa bulan ramadhan ni banyak persiapan nak dibuat untuk aidilfitri tapi aku sekeluarga dalam keadaan sederhana je. Cuma tukar langsir. Baju melayu aku pun dah sedia siap dapat masa sambutan Maulidur Rasul tuhari anjuran tempat kerja. Cuma bayar RM30 je untuk sepasang baju melayu. Baju isteri dan beli. Baju anak-anak je belum beli.
       Ramadhan kali ini aku berlima berbanding tahun lepas. Dengan kelahiran Dhia Hana Safiyya memberikan tambahan sinar. Duit zakat fitrah pun bertambah. Rezeki bertambah. Semoga berjumpa lagi ramadhan akan datang. Bulan dimana ganjaran pahala bertambah berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain untuk umat islam yang melakukan amal ibadah. Semoga kita dapat berebut peluang itu.

Sunday 12 May 2013

Pasca PRU13. Menang dalam kekalahan. Kalah dalam kemenangan.

    Berakhir sudah Pilihanraya Umum 13 Malaysia. Akhirnya Barisan Nasional berjaya kekalkan pemerintahan dengan majoriti mudah. Susut 7 kerusi parlimen. Tahun 2008 BN dapat 140 kerusi parlimen berbanding 2013 cuma 133 kerusi parlimen. Undi popular pula dimenangi oleh Pakatan Rakyat sebanyak 51% undi berbanding BN cuma mendapat 49% undi. Tahniah la kepada kedua-dua pemenang. Apa yang penting penambahbaikan dalam sistem pilihanraya dan juga sistem pentadbiran negara. Aku cadangkan setiap ahli parlimen dan DUN mestilah mengishtiharkan harta masing-masing selepas mengangkat sumpah. Ini untuk mengelakkan salahlaku dan rasuah dan sebagainya. Rakyat sentiasa memerhati dan sekarang zaman teknologi maklumat, mudah untuk seluruh rakyat tahu pergerakan dan tindakan wakil rakyat mereka.
     Isu perkauman perlu dielakkan. Pemimpin tidak perlu menyalahkan sesuatu kaum jika mereka menolak sesuatu parti kerana apa yang perlu ialah muhasabah diri. Selesaikan isu-isu yang berbangkit. Memberi sesuatu kepada rakyat bukan bermakna rakyat itu mudah untuk digula-gulakan. Ini kerana segala pemberian tersebut mereka anggap sebagai satu tanggungjawab kerajaan yang memerintah. Aku juga berharap agar harga barang dan minyak petrol dikawal dan jangan dinaikkan supaya rakyat tidak terbeban. Bil api dan air tidak perlu dinaikkan tarifnya. Jaga kepentingan rakyat, bukan jaga kepentingan kapitalis. Mereka hanya berpaksikan keuntungan sahaja. Rakyat semakin matang dan bijak membuat keputusan. Apa pun kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku akan datang.

Wednesday 3 April 2013

Parlimen ke 12 dibubarkan..bersedia hadapai PilihanRaya ke-13!

        Semalam Dato Seri Najib umumkan pembubaran parlimen. Ia memang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia supaya mandat penuh dapat diberikan untuk pemerintahan yang baru. Memang kali ini pilihanraya agak sengit dan dikatakan ibu segala pilihanraya. Sebagai rakyat Malaysia aku dah berpeluang untuk mengundi iaitu pada tahun 2004 dan 2008. Kalau ikutkan sebenarnya pada tahun 1999 aku dah boleh mengundi tapi aku diantara 600,000 pengundi muda yang dinafikan untuk mengundi. Alasannya nama belum disenaraikan dalam senarai SPR. Ikut suka diaorang la. Apa pun peluang 5 tahun sekali memang kita kena penuhi dan laksanakan tanggungjawab sebagai rakyat. Inilah kuasa rakyat yang menentukan tampuk pimpinan negara.
          SPR ada masa 60 hari untuk menentukan tarikh mengundi. Aku mengundi di Tangkak. Adun Tangkak dan Parlimen Ledang. Masih belum tukar tempat mengundi. Kalau mengundi di Parit Raja seronok juga tapi dengar cerita kena tukar alamat kad pengenalan, terus aku batalkan niat aku sebab aku masih sayangkan alamat Kg. Solok Tangkak yang ada pada kad pengenalan aku. He3.... Apa pun selamat menentukan masa depan negara! Wassalam.

Tuesday 12 February 2013

permulaan...

   Pejam celik dan tahun 2013. Kejab je masa berlalu bak kata Imam Al Ghazali yang jauh itu adalah masa yang meninggalkan kita dan yang paling dekat ialah kematian. Semalam genap umur aku yang ke 35 tahun. Terasa muda dan tua he3. Ye la orang lelaki semakin matang adalah lagi baik. Aku merancang nak perkukuhkan ilmu agama, perkukuhkan ekonomi dan perkukuhkan institusi keluarga supaya mantap dalam menghadapi masa depan.  Anak pun dah masuk tiga,  (lahir 29/9/2012) alhamdulillah. Anak yang sulung pun dah masuk sekolah 4 tahun (PASTI). Anak lelaki nombor dua tengah lasak dan manja. Apa pun bersukur kepada Allah swt diatas apa yang dikurniakan. Kena jaga amanah sebaiknya. Pastikan ajaran agama didahulukan meresap dalam hati dan jiwa sebab sekarang ni dah akhir zaman dan maknanya zaman fitnah berleluasa. Hanya dengan ilmu, taqwa dan iman menjadi benteng yang ampuh dalam menghadapi badai tersebut. Banyak masalah dapat diselesaikan jika ikut panduan al quran dan sunnah. Harap dapat la aku merealisasikan apa yang aku impikan in shaa Allah.